Permulaan Karier Rodzane_bin_Haji_Mohamed

Pada tahun 1985, Jojet bersama 4 lagi orang rakan sekolahnya (Awie, Syam, Baharom & Zul) telah mengasaskan sebuah kumpulan muzik di mana mereka berhasrat untuk memperjuangkan irama rock dalam industri muzik tanahair dan beliau bertindak sebagai pemain dram. Bakat Jojet mula dikesan dan dicungkil dari band muzik yang belum diberi nama pada ketika itu. Hal ini didorong oleh penerimaan mereka terhadap muzik rock yang mendapat sambutan yang begitu hangat di Malaysia, ditambah lagi dengan kemunculan kumpulan yang memperjuangkan irama tersebut seperti Sweet Charity, Lefthanded dan Search pada ketika itu.

Namun belum sempat merakamkan album pertama bersama kumpulan Wings, Jojet telah mengambil keputusan untuk keluar dari kumpulan itu dan menjadi pemuzik bebas (dram) di Kuala Lumpur. Tidak lama selepas itu, beliau didatangi oleh dua orang pemuzik terkenal iaitu Yem Bai (pemain bass kumpulan BPR) dan Ito Blues Gang dan mereka memperkenalkan beliau dengan kumpulan Gersang yang ketika itu baru sahaja berhijrah ke Kuala Lumpur dengan 3 orang anggota iaitu Man Bai (vokal), Kid (gitar utama, kemudian bersama Search) & Man Greng (bass). Kebetulan, Gersang memang memerlukan pemain dram baharu setelah pemain dram asal Gersang, Razak Kerajaan menarik diri atas sebab-sebab tertentu. Tidak mengambil masa yang lama, Jojet terus bersetuju untuk memulakan karier profesionalnya bersama kumpulan tersebut dan memulakan proses rakaman album pertama berjudul Gersang yang diterbitkan pada tahun 1987.